Untuk perhatian:
Semua penghuni/pemilik strata Flat Taman Subang Perdana
Kuala Lumpur, 1 Jun 2016 – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan mula menguatkuasakan pengasingan sisa pepejal di punca bermula pada hari ini. Penguatkuasaan ini bertujuan untuk memastikan pelaksanaan inisiatif pengasingan sisa pepejal di punca (SAS) dilaksanakan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia.
Pelaksanaan SAS akan dapat mendidik masyarakat untuk lebih bertanggungjawab dalam menguruskan sisa pepejal di premis masing-masing. Disamping itu ianya juga dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan memelihara dan menghargai alam sekitar seterusnya dapat dijadikan budaya oleh rakyat Malaysia secara menyeluruh.
Penguatkuasaan SAS ini turut dijalankan secara serentak di semua negeri-negeri yang menerima pakai Akta 672 iaitu di Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur & Putrajaya), Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah. Ianya melibatkan pemeriksaan kepada 79 buah taman dan hampir 10,724 unit premis serta melibatkan seramai 245 orang anggota penguatkuasa SWCorp bagi memastikan pelaksanaan pengasingan sisa pepejal dipunca diamalkan oleh penduduk setempat seperti yang telah ditetapkan mengikut Akta 672.
Pelaksanaan penguatkuasaan SAS dijalankan oleh pasukan khas yang ditubuhkan terdiri daripada anggota penguatkuasa SWCorp bersama Syarikat Konsesi. Penguatkuasaan ini dijalankan mengikut prosedur yang telah ditetapkan antaranya melalui pemeriksaan di dalam tong sampah untuk mengenalpasti sisa baki tidak bercampur dengan sisa kitar semula.
Oleh yang demikian, pada tarikh ini (1 Jun 2016), kadar kompaun yang dikenakan terhadap pemilik kediaman bertanah (landed) yang tidak melaksanakan pengasingan sisa pepejal di punca adalah RM50.00 bagi kesalahan kali pertama, RM100.00 bagi kesalahan kali kedua dan RM500.00 bagi kesalahan kali ketiga. Seterusnya bagi kediaman bertingkat (non landed) adalah RM100 bagi kesalahan kali pertama, RM200.00 bagi kesalahan kali kedua dan RM500.00 bagi kesalahan kali ketiga.
Bagi kesalahan kali keempat dan seterusnya, tindakan mahkamah akan diambil jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM1,000.00. Walau bagaimanapun, tindakan undang-undang merupakan langkah yang terakhir yang akan dilaksanakan kerana fokus Kementerian adalah lebih menjurus untuk mendidik masyarakat serta memberi kesedaran awam dalam kalangan masyarakat Malaysia ke arah mewujudkan masyarakat yang menghargai sisa pepejal sebagai satu sumber, menjaga kebersihan persekitaran dan memelihara kelestarian alam sekitar.
YB Datuk Rahman Dahlan, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjelaskan, inisiatif Kerajaan untuk melaksanakan pengasingan sisa pepejal di punca adalah sangat relevan bagi memastikan Malaysia mencapai sasaran 22% kadar kitar semula pada tahun 2020 berbanding 17.5% kadar kitar semula pada tahun 2015. Stastistik ini adalah jauh lebih rendah berbanding kadar kitar semula yang dicatatkan oleh Negara-negara maju yang lain seperti Austria (68%), Jerman (62%), Taiwan (60%) dan Singapura (59%).
Selain daripada penguatkuasaan tersebut, pihak SWCorp akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif yang merangkumi promosi, pendidikan dan engagement dengan masyarakat. Antaranya adalah hebahan maklumat berhubung panduan dan kaedah pelaksanaan SAS yang lebih interaktif dan kreatif di semua saluran media elektronik, media cetak mahupun media sosial. Sehingga kini, sebanyak 3511 buah taman dilawati 382,402 buah premis yang diperiksa dan sejumlah 85,416 surat peringatan mesra telah dikeluarkan kepada penghuni premis berkenaan.
Jelas beliau lagi, penguatkuasaan ini merupakan fasa ketiga pelaksanaan SAS selepas dilaksanakan secara berperingkat mulai 1 Jun 2015 yang lalu. Sebelum ini pendekatan yang digunakan adalah dengan memberi tumpuan kepada penerangan dan pendidikan yang berterusan kepada masyarakat berkaitan pelaksananan pengasingan sisa pepejal di punca. Penguatkuasaan SAS ini, tidak hanya tertumpu kepada tindakan mengkompaun semata-mata sebaliknya komitmen yang berterusan daripada pihak masyarakat adalah menjadi keutamaan kepada pelaksanaan SAS. Pihak kementerian berharap agar masyarakat dapat membudayakan amalan pengasingan sisa pepejal di punca yang menjadi penentu kepada kejayaan dan inisiatif murni ini. Semoga dengan sokongan semua pihak, kita mampu meningkatkankadar kitar semula negara dan seterusnya menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih, indah dan sejahtera.
Hari ini juga, telah berlangsung Program Promosi Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca Di Kawasan Kediaman Bertingkat (non-landed) yang diadakan di PPR Kampung Limau dan telah dihadiri oleh YB Datuk Abdul Rahman Dahlan, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Penganjuran program ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam tentang amalan 3R dan mengurangkan sisa pepejal ke tapak pengurusan seterusnya memupuk sikap tanggungjawab dalam memastikan persekitaran yang bersih.
No comments:
Post a Comment