Untuk perhatian:
Semua penghuni/pemilik strata Flat Taman Subang Perdana
Kuala Lumpur, 1 Jun 2016 – Kementerian Kesejahteraan
Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Perbadanan Pengurusan
Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan mula menguatkuasakan
pengasingan sisa pepejal di punca bermula pada hari ini. Penguatkuasaan
ini bertujuan untuk memastikan pelaksanaan inisiatif pengasingan sisa
pepejal di punca (SAS) dilaksanakan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia.
Pelaksanaan SAS akan dapat mendidik masyarakat untuk lebih
bertanggungjawab dalam menguruskan sisa pepejal di premis masing-masing.
Disamping itu ianya juga dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat
akan kepentingan memelihara dan menghargai alam sekitar seterusnya dapat
dijadikan budaya oleh rakyat Malaysia secara menyeluruh.
Penguatkuasaan SAS ini turut dijalankan secara serentak di semua
negeri-negeri yang menerima pakai Akta 672 iaitu di Wilayah Persekutuan
(Kuala Lumpur & Putrajaya), Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan,
Perlis dan Kedah. Ianya melibatkan pemeriksaan kepada 79 buah taman dan
hampir 10,724 unit premis serta melibatkan seramai 245 orang anggota
penguatkuasa SWCorp bagi memastikan pelaksanaan pengasingan sisa pepejal
dipunca diamalkan oleh penduduk setempat seperti yang telah ditetapkan
mengikut Akta 672.
Pelaksanaan penguatkuasaan SAS dijalankan oleh pasukan khas yang
ditubuhkan terdiri daripada anggota penguatkuasa SWCorp bersama Syarikat
Konsesi. Penguatkuasaan ini dijalankan mengikut prosedur yang telah
ditetapkan antaranya melalui pemeriksaan di dalam tong sampah untuk
mengenalpasti sisa baki tidak bercampur dengan sisa kitar semula.
Oleh yang demikian, pada tarikh ini (1 Jun 2016), kadar kompaun yang
dikenakan terhadap pemilik kediaman bertanah (landed) yang tidak
melaksanakan pengasingan sisa pepejal di punca adalah RM50.00 bagi
kesalahan kali pertama, RM100.00 bagi kesalahan kali kedua dan RM500.00
bagi kesalahan kali ketiga. Seterusnya bagi kediaman bertingkat (non
landed) adalah RM100 bagi kesalahan kali pertama, RM200.00 bagi
kesalahan kali kedua dan RM500.00 bagi kesalahan kali ketiga.
Bagi
kesalahan kali keempat dan seterusnya, tindakan mahkamah akan diambil
jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM1,000.00.
Walau bagaimanapun, tindakan undang-undang merupakan langkah yang
terakhir yang akan dilaksanakan kerana fokus Kementerian adalah lebih
menjurus untuk mendidik masyarakat serta memberi kesedaran awam dalam
kalangan masyarakat Malaysia ke arah mewujudkan masyarakat yang
menghargai sisa pepejal sebagai satu sumber, menjaga kebersihan
persekitaran dan memelihara kelestarian alam sekitar.
YB Datuk Rahman Dahlan, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan
Kerajaan Tempatan menjelaskan, inisiatif Kerajaan untuk melaksanakan
pengasingan sisa pepejal di punca adalah sangat relevan bagi memastikan
Malaysia mencapai sasaran 22% kadar kitar semula pada tahun 2020
berbanding 17.5% kadar kitar semula pada tahun 2015. Stastistik ini
adalah jauh lebih rendah berbanding kadar kitar semula yang dicatatkan
oleh Negara-negara maju yang lain seperti Austria (68%), Jerman (62%),
Taiwan (60%) dan Singapura (59%).
Selain daripada penguatkuasaan
tersebut, pihak SWCorp akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif yang
merangkumi promosi, pendidikan dan engagement dengan masyarakat.
Antaranya adalah hebahan maklumat berhubung panduan dan kaedah
pelaksanaan SAS yang lebih interaktif dan kreatif di semua saluran media
elektronik, media cetak mahupun media sosial. Sehingga kini, sebanyak
3511 buah taman dilawati 382,402 buah premis yang diperiksa dan sejumlah
85,416 surat peringatan mesra telah dikeluarkan kepada penghuni premis
berkenaan.
Jelas beliau lagi, penguatkuasaan ini merupakan fasa ketiga
pelaksanaan SAS selepas dilaksanakan secara berperingkat mulai 1 Jun
2015 yang lalu. Sebelum ini pendekatan yang digunakan adalah dengan
memberi tumpuan kepada penerangan dan pendidikan yang berterusan kepada
masyarakat berkaitan pelaksananan pengasingan sisa pepejal di punca.
Penguatkuasaan SAS ini, tidak hanya tertumpu kepada tindakan mengkompaun
semata-mata sebaliknya komitmen yang berterusan daripada pihak
masyarakat adalah menjadi keutamaan kepada pelaksanaan SAS. Pihak
kementerian berharap agar masyarakat dapat membudayakan amalan
pengasingan sisa pepejal di punca yang menjadi penentu kepada kejayaan
dan inisiatif murni ini. Semoga dengan sokongan semua pihak, kita mampu
meningkatkankadar kitar semula negara dan seterusnya menjadikan Malaysia
sebuah negara yang bersih, indah dan sejahtera.
Hari ini juga, telah berlangsung Program Promosi Pengasingan Sisa
Pepejal Di Punca Di Kawasan Kediaman Bertingkat (non-landed) yang
diadakan di PPR Kampung Limau dan telah dihadiri oleh YB Datuk Abdul
Rahman Dahlan, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan
Tempatan. Penganjuran program ini adalah bertujuan untuk meningkatkan
kesedaran awam tentang amalan 3R dan mengurangkan sisa pepejal ke tapak
pengurusan seterusnya memupuk sikap tanggungjawab dalam memastikan
persekitaran yang bersih.